Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Wan Fayshal berkata usaha menyantuni dan mendekati pengundi di kawasan berkenaan telah aktif digerakkan sejak dua tahun lalu termasuk memberikan bantuan semasa pandemik Covid-19 dan banjir.
“Bagan Serai ini kampung ibu saya dan dari segi kecenderungan serta fokus saya, memang Bagan Serai dalam senarainya dan kalau-kalau diberi ruang jadi calon di sini, saya tiada aral melintang untuk berkhidmat.
“Sebagai Ketua Pemuda Bersatu Nasional, saya berhak bertanding di mana-mana sahaja di seluruh Malaysia, semua kerusi Parlimen boleh bertanding kalau parti izinkan,” katanya seperti dipetik Sinar harian.
Dia berkata demikian kepada pemberita sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Simpat Ampat Semanggol pada Sabtu.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu bagaimanapun menjelaskan, pembahagian kerusi dan calon masih dalam peringkat perbincangan Perikatan Nasional (PN) bersama rakan komponen termasuk PAS.
Parlimen Bagan Serai sebelum ini dimenangi calon Umno Noor Azmi Ghazali dengan majoriti tipis sebanyak 172 undi. Pada PRU itu Noor Azmi menewaskan Rohaya Bakar dari PAS (17,048 undi) dan Adam Asmuni dari Bersatu (12,987 undi).
Wan Fayshal dilantik sebagai Senator di Dewan Negara pada 2020. Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya dijangka tamat pada 8 Mac 2023.