Peguam yang sebelum ini mewakili Nagaenthran Dharmalingam, warga Malaysia yang dihukum mati di Singapura bulan lepas atas tuduhan kesalahan dadah, membidas beberapa ahli politik Malaysia kerana menyambut seorang menteri Singapura semasa lawatannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
N Surendran berkata “memualkan” melihat ahli politik Malaysia bertemu dengan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan (atas, kanan) hanya beberapa minggu selepas Nagaenthran dihukum gantung oleh republik itu.
“Hanya beberapa minggu selepas Singapura membunuh Nagaenthran walaupun terdapat bantahan global @VivianBala telah datang dengan ‘tangan berdarah’ ke Malaysia.
“Sungguh memualkan melihat ahli politik Malaysia bergegas menemui individu yang mempertahankan hukuman gantung Nagaenthran ini! Pasti ada selang masa yang lebih baik?
“Air mata ibu belum kering lagi,” kata peguam itu melalui ciapan di Twitter hari ini.
Kritikan Surendran hadir selepas Balakrishnan malam tadi memuat naik beberapa siri gambar pertemuan dengan ahli politik Malaysia semasa lawatan dua harinya ke Kuala Lumpur.
Mereka yang ditemuinya termasuklah Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Kulai DAP Teo Nie Ching, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Syahredzan Johan, dan Ahli Parlimen Permatang Pauh PKR Nurul Izzah Anwar.
Malaysiakini telah menghubungi ahli politik berkenaan untuk mendapatkan komen. Setakat ini, hanya Syahredzan dan setiausaha akhbar Samsuri yang tidak memberi sebarang komen.
Nagaenthran, 34, dihukum mati pada awal pagi 27 April, selepas mengedar 44g heroin ke Singapura, yang mempunyai antara undang-undang narkotik yang paling keras di dunia.
Pelaksanaan itu dibuat selepas cabaran undang-undang yang difailkan sehari sebelumnya oleh ibu mendiang gagal.
Kes itu dianggap berprofil tinggi dan telah mengundang pelbagai gesaan di peringkat antarabangsa agar Nagaenthran, yang dikatakan mengalami masalah mental, diberi pengampunan.
Kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong telah cuba menyelamatkan nyawa Nagaenthran, termasuk dengan merayu kepada presiden Singapura untuk memberikan pengampunan.
Bagaimanapun, gesaan itu ditolak oleh Singapura tahun lepas, apabila Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Balakrishnan menjawab dengan mengatakan bahawa Nagaenthran telah diberikan proses yang sewajarnya dalam kesnya.