Pembinaan Jajaran Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 230 kilometer di Pahang dijamin tidak terjejas jika berlaku bencana banjir di negeri terbabit.
Perkara itu dimaklumkan Pengurus Pembinaan Malaysia Rail Link (MRL) Wilayah Pahang, Khairi Khalid Abdul Rahman, ketika ditemui pada majlis Aidilfitri anjuran ECRL di Kuantan, petang tadi.
“Dari segi kajian dan reka bentuk, semua sudah dibuat oleh consultant (perunding) berwibawa, jadi kita jangkakan tidak ada masalah jika banjir.
“Selain itu, kami juga sudah membuat kajian dan mengambil kira paras kejadian banjir 100 tahun lalu, jadi ia (landasan) sudah mengambil kira semua sudut,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian banjir yang pernah berlaku hingga menjejaskan laluan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sebelum ini, Khairi Khalid berkata, bentuk muka bumi dan kecerunan antara pembinaan lebuh raya dan landasan bagi ECRL adalah berbeza.
“Kalau (untuk) jalan lebuh raya, biasanya ada kawasan turun naik, tapi untuk trek (landasan), reka bentuknya mendatar dan kecerunan juga kurang dari satu peratus,” katanya.
Pada 22 Dis lalu, dua kawasan membabitkan tiga daerah di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan LPT Fasa 1 terpaksa ditutup kepada pengguna akibat dilanda banjir.
Laluan ditutup itu membabitkan kawasan kedua-dua hala di KM66.7 hingga KM79.5 antara Bentong ke Karak, dan KM79.5 hingga KM136.9 (antara Karak ke Chenor).
Khairi Khalid berkata, proses pembinaan landasan ECRL di Pahang adalah paling mencabar kerana membabitkan 26 terowong dari sempadan Terengganu hingga sempadan Selangor.
“Setakat ini, lima terowong sudah selesai dibina dan pembinaan terowong terpanjang dalam jajaran ini iaitu Terowong Genting sejauh 16.39 km dimulakan bulan ini.
“Untuk (kerja mengorek) terowong Kuantan dekat Jabor pula, kami jangkakan pada Okt ini boleh selesai, dan selepas itu boleh mulakan kerja lining di terowong berkenaan,” katanya.