Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dinaikinya dihempap pokok tumbang ketika melalui Jalan Sri Wangi 1/5, Kawasan Perindustrian Desa Plentong di Pasir Gudang hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya Pegawai Bomba Kanan II Sufian Mohd Lis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 petang.
Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati sebuah lori jenis Daihatsu tiga tan ditimpa sebatang pokok pada ketinggian 20 kaki.
Menurutnya mangsa dikenali sebagai R Nasarudin Abd Kadir berusia 40-an dan dia tersepit di tempat duduk pemandu.
Kata Sufian PKO bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji rantai dan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang membawa barangan kimpalan sedang melintasi jalan tersebut dan tiba-tiba pokok tumbang lalu menghempap lori (itu) yang sedang bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sufian mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail.
Katanya dua jentera dari Johor Jaya dengan 11 anggota dihantar ke tempat kejadian dan operasi ditamatkan pada jam 3.53 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.
– Bernama