Jumlah tahanan di penjara Israel meningkat sebanyak 900 antara Februari dan Mei, yang kini mencecah kira-kira 15,000 orang.
Peningkatan drastik itu disebabkan oleh penangkapan agresif dalam komuniti Arab serta penurunan pembebasan selepas Knesset mengenakan syarat yang lebih ketat untuk kes tertentu.
Akibat lonjakan jumlah tahanan, kapasiti banduan dalam penjara kini menjadi padat dan tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi 2017 yang menetapkan negeri memperuntuk setiap banduan ruang tinggal yang minimum.
Menurut NGO, terdapat 13,600 tahanan pada akhir 2021, 14,084 pada bulan Februari dan meningkat 14,961 minggu lalu.
Pakar undang-undang jenayah, Prof Oren Gazal-Ayal berkata, 40 peratus daripada populasi penjara terdiri daripada tahanan yang masih belum disabitkan, dan ia meningkat daripada 30 peratus ketika empat tahun lalu.
Antara punca lain menyebabkan peningkatan jumlah tahanan juga adalah kerana sekatan baharu menghalang pembebasan banduan sebelum tamat tempoh mereka.
“Sekatan itu berpunca terutamanya daripada fakta bahawa Knesset tahun ini melarang pembebasan awal banduan yang disabitkan dengan keganasan serius, keganasan rumah tangga dan kesalahan seks,” katanya.
Menurut statistik baru-baru ini, lebih 4,500 tahanan Palestin dan Arab berada dalam penjara Israel kerana menentang penjajahan rejim itu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tahanan Palestin di penjara telah melancarkan protes untuk menuntut keadaan yang lebih baik, termasuk menamatkan dasar tidak wajar Israel menyerbu sel penjara. – Agensi