Gempa bumi berukuran enam pada skala Richter melanda kepulauan Artik Norway di Svalbard hari ini, menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC).
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.
EMSC berkata, gempa bumi berlaku 725 kilometer (km) di utara Svalbard pada kedalaman dua km.
“Kami tidak menerima sebarang laporan kemusnahan atau kemalangan jiwa,” kata jurucakap polis di pejabat Gabenor Svalbard.
Beliau berkata, kebiasaannya terdapat banyak kapal belayar di sekitar pulau berkenaan, namun tidak dapat dipastikan jumlah sebenarnya.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan,” kata jurucakap perkhidmatan penyelamat wilayah utara Norway.
Penempatan utama di Svalbard, Longyearbyen, terletak di bahagian tengah kepulauan berkenaan. – REUTERS