Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan rakan sejawatnya, Yoon Suk-yeol, akan berbincang bagi mencari jalan memecahkan kebuntuan diplomatik dengan Korea Utara berhubung ancaman senjata nuklear.
Kebimbangan itu semakin memuncak selepas Kim Jong-un dijangka mungkin melakukan ujian nuklear baharu ketika Biden melawat Korea Selatan.
Ini adalah pertemuan pertama Biden dan Suk-yeol, sejak Presiden baharu Korea Selatan itu dilantik 11 hari lalu.
Bagaimanapun, pertemuan itu dilatari dengan maklumat perisikan bahawa pemimpin Korea Utara bersedia melancarkan ujian peluru berpandu dan nuklear.
Pegawai kanan pentadbiran Biden memaklumkan, kedua-dua pemimpin terbabit akan membincangkan mengenai kerjasama nuklear selain Washington sedia mengadakan rundingan diplomasi dengan Korea Utara.
“Menjadi hasrat kami untuk mencari jalan supaya pendekatan diplomatik dapat dicapai.
“Kami sudah menjelaskan bahawa kami sedia berunding dengan mereka, tanpa sebarang pra syarat dan kami sedia mencari jalan untuk menangani isu domestik mereka termasuk COVID-19,” katanya.
Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana Biden dan Suk-yeol akan memulakan rundingan dengan Korea Utara, yang selama ini menolak semua usaha Washington sejak Biden mengambil alih tampuk pemerintahan tahun lalu.
Suk-yeol pula sudah menyuarakan ketegasannya terhadap Korea Utara berbanding penyandang jawatannya dan dijangka meminta bantuan daripada Biden.
Malah, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan sekiranya wujud ancaman serangan selain berikrar untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan negaranya.
Mengulas lanjut, pegawai terbabit berkata, isu penularan COVID-19 di Korea Utara yang disifatkan serius oleh AS dijangka menjadi asas kepada proses diplomasi yang diusahakan.
“Kami amat bimbang dengan pandemik COVID-19 dan kami juga sensitif dengan keadaan dihadapi mereka.
“Saya rasa anda boleh melihat pendirian kami yang sedia bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Pegawai kesihatan pula berkata, krisis kemanusiaan dan kemunculan varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya berupaya menjadi laluan diplomasi terbabit.
Dalam pada itu, ujian senjata Korea Utara dijangka membayangi tumpuan Biden terhadap China, perdagangan dan isu setempat.
Beliau dijangka memperkenalkan rangka kerja ekonomi Indo-Pasifik tanpa membabitkan China, yang disifatkannya sebagai autokratik dan menyeru kerjasama dengan lebih banyak negara yang berkongsi nilai sama seperti Korea Selatan. – REUTERS