Protes diadakan di Kedutaan Singapura di sini, dan Konsulat Agung Singapura di Medan, selepas penceramah popular Indonesia, Ustaz Abdul Somad dilarang masuk ke negara republik itu dan dihantar pulang ke Batam awal minggu ini.
Menurut media Indonesia, Detik protes di hadapan kedutaan bermula sekitar jam 2.20 petang waktu tempatan dengan penunjuk perasaan membawa bendera Indonesia dan menyerahkan risalah.
Kumpulan penunjuk perasaan terdiri ahli Pembela Ideologi Syariah Islamiah (Perisai) menggesa kecaman terhadap keputusan Singapura untuk melarang kemasukan pendakwah berkenaan.
Mereka juga menuntut Kedutaan Singapura di Jakarta memberikan penjelasan berhubung kejadian itu dan memohon maaf secara terbuka. Kumpulan itu juga menggesa duta Singapura ke Indonesia meninggalkan negara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tempatan, Agung Permana dilaporkan berkata seramai 50 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke lokasi untuk menjaga ketenteraman.
Penunjuk perasaan terus berdemonstrasi walaupun hujan dan mereka bersurai sekitar jam 4.10 petang waktu tempatan, menurut laporan Detik.
“Tindakan Singapura menunjukkan bahawa mereka secara terbuka menuduh Somad sebagai radikal. Somad dituduh oleh Singapura sebagai pengganas,” seorang penunjuk perasaan, Muhammad Saleh dilaporkan sebagai berkata oleh Detik.