Korea Utara melaporkan lebih 200,000 pesakit baharu yang menderita akibat demam dalam tempoh lima hari berturut-turut ketika negara itu sedang memerangi penularan COVID-19 pertamanya.
Perkara itu dilaporkan agensi berita Korea Selatan, Yonhap, yang memetik penyiaran negara Korea Utara.
Minggu lalu, negara itu mengisytiharkan gelombang COVID-19 yang berterusan dan mencetuskan kebimbangan terhadap kekurangan vaksin, infrastruktur kesihatan tidak mencukupi serta kemungkinan krisis makanan dalam negara mempunyai 25 juta penduduk yang enggan menerima bantuan luar dengan menutup sempadannya.
Sekurang-kurangnya 219,030 orang menunjukkan simptom demam sejak petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes itu kepada 2,460,640, menurut Pusat Televisyen Korea (KCTV) yang memetik data daripada ibu pejabat kawalan epidemik kecemasan.
Angka kematian meningkat dari satu kepada 66.
Yonhap bagaimanapun, tidak menyatakan secara terperinci berapa ramai yang disahkan positif virus berkenaan.
Menurut pakar, ketiadaan kempen vaksinasi dan keupayaan melakukan ujian yang terhad, data harian dikeluarkan media kerajaan mungkin kurang dilaporkan dan menyukarkan akses kepada skala gelombang COVID-19.
Agensi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terhadap impak yang memusnahkan bagi 25 juta penduduk negara itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula berkata penularan yang tidak diperiksa boleh membawa kepada kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya. – REUTERS