Kecewa dengan pembatalan pemilihan PKR Hulu Selangor atas alasan tiada kemudahan mengundi dan logistik disediakan di pusat mengundi, seorang ahli PKR mendakwa insiden tersebut satu tindakan sabotaj.
Bercakap kepada Malaysiakini, M Soundararajan, 58, berkata pucuk pimpinan parti perlu mengadakan siasatan dalaman sebelum menetapkan tarikh baru untuk pengundian.
“Saya berada di pusat pengundian di Bukit Beruntung Golf & Country Resort seawal 7.30 pagi. Selain saya, lebih kurang 300 ahli parti berkumpul di situ untuk mengundi awal kerana kebanyakan kami perlu masuk kerja pada hari itu.
“Namun, ada perkara yang meragukan di situ apabila beberapa individu yang menyokong salah seorang calon ketua cabang yang berada di sana memberitahu bahawa tiada pengundian akan berlaku dan meminta kami balik.
“Persoalannya, bagaimana mereka sudah tahu tidak ada pengundian seawal 9 pagi sebelum JPP membuat pengumuman rasmi selepas 11 pagi? Lebih pelik, ada beberapa rakan saya yang menyokong calon ketua cabang yang sama memberitahu saya bahawa pengundian akan diadakan pada sebelah petang.
“Jadi, saya percaya modus operandi mereka adalah melengahkan pengundian pada sebelah pagi dengan harapan kami (sokong dua calon ketua cabang yang lain) balik awal, seterusnya membawa penyokong-penyokong mereka pada sebelah petang untuk mengundi calon ketua cabang itu,” katanya.
Tambahnya, menghukum dalang di sebalik sabotaj itu lebih penting sebelum mengadakan pengundian pada tarikh baru.
Untuk rekod, Pemilihan PKR Hulu Selangor yang dijadual diadakan semalam dibatalkan kerana tiada kemudahan mengundi dan logistik disediakan di pusat mengundi.
Jurucakap jawatankuasa pemilihan parti (JPP) dan penyelaras PKR Selangor Mazli Saring berkata bahawa jawatankuasa itu mengambil keputusan untuk membatalkan pengundian di cabang Hulu Selangor.
Mengikut garis panduan pemilihan parti, logistik perlu disediakan oleh jawatankuasa cabang penyandang yang diketuai June Leow Hsiad Hui.
Dakwa pengurusan JPP lemah
Leow sebelum ini mendakwa sebarang cadangan dan rancangannya untuk menyediakan kemudahan mengundi tidak ‘dilayan’ oleh JPP sejak tiga minggu lalu.
Malah, Ahli Parlimen Hulu Selangor terus mengecam JPP yang menurutnya lemah dari segi pengurusan di laman media sosial.
“Apa fungsi JPP? Jika calon perlu sediakan semua? Calon Hulu Selangor bukan satu. Terimalah saja teguran. Pengurusan lemah!
“Baguslah, ada yang umum saya sebagai ketua cabang perlu buat persiapan untuk pemilihan parti penggal ini. Tak perlu buat pemilihan lagi. Apa fungsi JPP? Tidur?” katanya dalam tulisan di Facebook.
Leow yang bertanding bagi penggal ketiga bagi jawatan ketua cabang dicabar pengamal perubatan Dr Sathia Prakash Nadarajah dan ahli perniagaan Azizan Zakaria.
Sementara itu, Soundararajan berkata akan membuat aduan rasmi kepada JPP dan pucuk pimpinan untuk menyiasat insiden semalam.
“Saya sebelum ini telah ini telah membuat laporan polis dan aduan di JPP berhubung ‘politik wang dalam pemilihan Hulu Selangor.
“Kalau 21 cabang lain di Selangor berjaya mengadakan pemilihan dan hanya Hulu Selangor menghadapi isu kemudahan mengundi kemudian ada yang tidak kena di peringkat cabang,
“Harap pucuk pimpinan mengambil tegas terhadap individu-individu yang terlibat,” katanya.
Sedang teliti aduan
Ketika dihubungi, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustapa berkata setiap aduan diterima akan diteliti oleh panel aduan.
“Aduan-aduan memang sedang diteliti satu persatu oleh panel aduan.
“Ada aduan yang ada merit, ada yang telah dijawab, ada pengadu yang dipanggil untuk memberi fakta yang lebih jelas.
“Ada juga tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan dan mempertahankan diri atas pertuduhan atau aduan yang dikemukakan,” katanya.
Difahamkan sehingga kini lebih 300 aduan dilaporkan kepada JPP berhubung pemilihan PKR yang berakhir hari ini.