Pengacara televisyen wanita Afghanistan berjanji akan terus memperjuangkan hak mereka selepas dipaksa pihak berkuasa Taliban memakai burqa sepanjang bertugas.
Sejak mengambil alih pentadbiran negara, Taliban telah menguatkuasakan beberapa undang-undang baharu terhadap rakyat yang kebanykan menenkan fahaman mereka sendiri terhadap Islam terutama kepada golongan wanita dan kanak-kanak.
Terbaharu, pemimpin utama Afghanistan, Hibatullah Akhundzada mengarahkan semua wanita memakai burqa ketika berada di kawasan awam.
Arahan sama turut dikuat kuasakan kepada semua penyampai berita wanita supaya seluruh muka ditutup ketika bertugas.
Ahad lalu, sehari selepas mengingkari arahan berkenaan, penyampai wanita akhirnya tampil dengan menutup seluruh muka ketika bersiaran.
“Hari ini mereka memaksa kami petugas media menutup seluruh muka ketika bertugas namun akan teruskan perjuangan menuntut hak kami,” kata penyampai wanita dari TOLOnews, Sonia Niazi.
Dia menyifatkan dekri baharu tersebut sebagai percubaan untuk wartawan wanita berhenti kerja.
Manakala seorang lagi penyampai berita di 1TV, Lima Spesel mengakui terlalu sukar bekerja di bawah pentadbiran Taliban namun akan tetap terus memperjuangkan hak mereka.
Sementara itu, Pengarah TOLOnews, Khpolwak Sapai berkata, pihaknya terpaksa menerima arahan yang dikeluarkan pentadbiran Taliban.
“Saya dihubungi pihak pengurusan dan dimaklumkan dengan tegas supaya patuh dengan arahan yang dikeluarkan.
“ini bukan pilihan sebaliknya paksaan kepada kami semua dalam bidang penyiaran,” katanya.
Sebelum ini pengacara wanita hanya diwajibkan bertudung dan bukannya menutup seluruh mereka ketika bertugas. – Agensi