Saman fitnah berjumlah RM1 juta yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadap Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos akan diputuskan pada 26 Julai ini.
Ia selepas pendengaran hari ini di mana Jamal cuba untuk mewakili dirinya sendiri.
Saman itu berhubung dakwaan Jamal bahawa Kok dan beberapa wakil rakyat PH menyalahgunakan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang di bawah pentadbiran Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
“Apa yang mengejutkan saya dan peguam saya, Jamal melepaskn peguamnya semalam dan beritahu mahkamah dia ingin mewakili dirinya sendiri, jadi hari ini dia datang ke mahkamah tanpa peguam,” kata Kok dalam hantaran di Facebook.
Jamal dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa peguamnya sebelum ini tidak cukup bagus.
“Dia kemudian cuba meminta perbicaraan ditangguhkan bagi membolehkannya melantik peguam baru tetapi hakim tolak kerana kes ini telah berlanjutan sekian lama, sejak 2017.
“Hakim kemudian mengarahkan perbicaraan diteruskan mengikut jadual,” katanya lagi.
Kok berkata lagi, jelas bahawa Jamal bukan seorang peguam dan tidak dapat menjalankan pemeriksaan balas.
“Dia juga beritahu hakim yang dia tak ada saksi untuk dipanggil. Jadi perbicaraan selesai tak sampai sejam,” katanya lagi.
Hakim Arief Emran kemudian menetapkan 26 Julai ini untuk menyampaikan keputusan kes saman itu.
Pada Mac 2017, Jamal mendakwa beberapa ahli politik PH di Kuala Lumpur dan Selangor mengeluarkan dana daripada Yawas tetapi tidak memberikannya kepada penerima yang layak.
Awal bulan ini, Kok membuat laporan polis terhadap Jamal atas dakwaan mengongsikan dokumen yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) berkaitan perkara itu.