Muzium Budaya Kota Larangan (The Palace Museum) Hong Kong (HK) dijadual dibuka kepada awam pada 2 Julai nanti.
Sempena ulang tahun ke-25 penubuhan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Hong (HKSAR), Kota Larangan Beijing dan Muzium Budaya Kota Larangan HK bersama mengadakan tujuh pameran pada bulan depan.
Pameran itu bertujuan memperkayakan kehidupan budaya penduduk HK, mewarisi dan meneruskan budaya tradisional serta mendorong pertukaran kebudayaan antara HK dengan Tanah Besar.
Difahamkan, pihak pengurusan kedua-dua muzium berganding bahu untuk mempersiapkan sepenuhnya pameran sempena perasmian muzium kali ini.
Sebanyak 914 peninggalan sejarah yang berharga dari Kota Larangan Beijing akan dipamerkan di muzium itu secara berperingkat, sekali gus menjadikan ia sebagai pinjaman koleksi berskala paling besar di luar Tanah Besar sejak Muzium Budaya Kota Larangan ditubuhkan pada 1925.
Pameran khas di Muzium Budaya Kota Larangan HK juga akan memaparkan 13 koleksi berharga yang dipinjam dari Louvre di Paris yang secara tidak langsung mencerminkan pertukaran budaya antara China dengan negara lain.
Koleksi dipamerkan dalam pameran kali ini terdiri lukisan, kaligrafi, barang tembaga, tembikar, jed, produk sulaman, ukiran dan lain-lain.
Pengerusi Lembaga Muzium Budaya Kota Larangan HK, Bernard Charnwut Chan berkata dengan sokongan kerajaan pusat dan tempatan, muzium itu dapat dirasmikan pada Julai menurut jadual.
“Ia merupakan hadiah berharga kepada penduduk HK sempena ulang tahun ke-25 tertubuhnya HKSAR.
“Ini sekali gus memenuhi misi untuk menjadikan HK sebagai pusat pertukaran kebudayaan dan kesenian antara China dengan negara-negara asing yang ditetapkan dalam program rancangan pembangunan negara lima tahun ke-14,” katanya. – BERNAMA