Sekurang-kurangnya 22 orang maut termasuk satu keluarga apabila sebuah van penumpang terjunam ke dalam gaung di barat daya Pakistan.
Kemalangan itu disyaki berlaku kerana memandu melebihi had laju di lebuh raya Quetta – Zhob di daerah Killa Saifullah 200 km (120 batu) dari Quetta di wilayah Balochistan, walaupun punca sebenar nahas tidak diketahui dengan segera, kata pegawai pada Rabu.
“Wanita dan kanak-kanak adalah antara mereka yang maut di tempat kejadian,” kata Pesuruhjaya daerah Killa Saifullah, Hafiz Qasim kepada Reuters.
Menurut Dr Wasim Baig, seorang mangsa dilaporkan cedera parah telah dihantar ke Hospital Awam Quetta.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di Pakistan.
Ini kerana, peraturan lalu lintas di sana jarang dipatuhi dan jalan raya di banyak kawasan luar bandar juga berada dalam keadaan menyedihkan.
Presiden Pakistan, Arif Alvi melahirkan rasa dukacita atas kemalangan itu dan mengarahkan pihak berkuasa membuat pengaturan untuk menghantar mayat penumpang kepada keluarga mereka.
Pada Julai tahun lalu, sebuah bas yang membawa kebanyakan pekerja pulang ke rumah merempuh sebuah trak kontena di lebuh raya yang sibuk di tengah Pakistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 33 orang. – Agensi