Peguam persekutuan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon untuk menarik diri daripada mewakili guru dalam saman balas yang difailkan oleh Ain Husniza Saiful Nizam.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Sesyen (Bahagian Sivil) Klang hari ini.
Ia susulan kritikan daripadasejumlah pihak, termasuk ahli parlimen, berhubung keputusan melantik peguam kerajaan bagi mewakili guru tersebut, yang turut menyaman Ain Husniza berhubung dakwaan membuat jenaka rogol di dalam kelas.
Pada 4 Jun lalu, Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab memfailkan afidavit yang antara lain menyatakan tidak wajar dan janggal untuk seorang peguam persekutuan mewakili guru tersebut kerana dia disaman atas kapasiti peribadi.
Guru tersebut, Khairul Nizam Sanuddin memfailkan saman fitnah terhadap dua beranak itu berhubung video TikTok mendakwa dia membuat jenaka rogol ketika dalam kelas.
Ain dan Saiful Nizam kemudian membuat saman balas terhadapnya serta bekas guru besar.
Menurut notis permohonan yang dilihat Malaysiakini, AGC memohon untuk menarik diri daripada mewakili Khairul Nizam dalam saman balas terhadapnya.
Dalam afidavit sokongan, peguam persekutuan Muhammad Muhairi Mohamed Nor berkata ia dibuat memandangkan Khairul Nizam masih diwakili peguamnya dalam soal itu.
“Telah wujud stu pertindihan dalam perwakilan terhadap defendan pertama (Khairul nizam) dan permohonan ini tidak menimbulkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak dalam tindakan ini,” katanya.