Malaysia perlu menyasarkan untuk mengekalkan nilai-nilai yang telah membawa kemakmuran pascamerdeka kepada semua masyarakatnya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Bercakap pada pelancaran buku ‘The Malays: Pathfinders And Trailblazers’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini, baginda bertitah Malaysia mesti memperjuang dan mengekalkan ia sebagai contoh negara pelbagai budaya.
“Di peringkat global, kita sedang menghadapi tiga krisis yang teruk dan bertindih — kesan daripada pandemik Covid-19, perang di Ukraine dan krisis makanan yang semakin meningkat. Gabungan cabaran ini memaksa negara untuk memikirkan semula mengenai globalisasi.
Sultan Nazrin bertitah, pandemik telah mengehadkan hubungan antara negara-negara dunia, syarikat dan orang awam selain menjejaskan rantaian bekalan global, menyebabkan pertumbuhan ekonomi global menguncup dan harga tenaga serta makanan semakin melambung tinggi.
“…tetapi seperti yang dimaklumkan kepada kita menerusi buku ini, selama berabad-abad lamanya tanah kepulauan Melayu telah terbuka kepada aliran perdagangan, modal, buruh dan idea, selain keterbukaan terhadap pengaruh asing dan perkara inilah yang telah membentuk kita menjadi siapa diri kita dan membantu kejayaan kita,” titah Sultan Nazrin.
Bertitah mengenai buku yang ditulis oleh Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja yang juga bekas menteri besar Perak Ramli Ngah Talib, Sultan Nazrin bertitah antara tujuan buku itu dihasilkan menurut pengarangnya adalah untuk memupuk orang Melayu mengenai rasa bangga dengan sejarah ‘menempa zaman’ mereka sendiri, dan ia juga boleh mengimbangi semula pemahaman tentang sejarah diri kita.
“Buku ini telah mencapai matlamat tersebut dengan mengagumkan dan saya ingin memuji pengarangnya atas kerja yang bermakna dan penting ini.
“Setelah membacanya, kita pasti akan memperoleh lebih banyak maklumat tentang budaya dan sejarah kita sendiri sebagai penduduk di kepulauan ini,” katanya.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah buku berkenaan menghamparkan santapan minda mengenai perkara yang dapat membantu orang Melayu melawati sejarah bangsanya.
Baginda bertitah penulisan yang dikodifikasikan atau dijadikan ‘codified knowledge’ (pengetahuan yang dikodkan) dan jika diterbitkan akan tersebar lebih luas dan dapat dijadikan bahan sejarah berharga serta rujukan yang memberikan manfaat kepada generasi akan datang.
Titah Sultan Nazrin banyak khazanah pengetahuan bangsa tertimbus dalam bentuk pengetahuan tersirat dengan pengetahuan yang tidak direkodkan akan lupus bersama pemilik pengetahuan tersebut apabila individu itu meninggal dunia.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah sejak dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987 dan kemudiannya diamanahkan sebagai Pemangku Raja Perak, penulis buku ketika itu merupakan menteri besar Perak dan banyak nasihat yang disembahkan olehnya telah memandu baginda memperkenankan perkara berkaitan tadbir urus negeri.
“Sehingga ke hari ini atas nama Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja yang juga ahli Dewan Negara Perak, beliau terus berperanan menyembahkan nasihat untuk memastikan kemuliaan dan kedaulatan takhta kekal terpelihara.
“Manfaat memperoleh nasihat berdasarkan pengalaman, pemikiran dan tafsiran beliau, kini akan memberikan manfaat kepada audiens yang lebih luas melalui penerbitan yang dihasilkan ini,” titah Sultan Nazrin.
–Bernama