Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ukraine mengesahkan kematian 24 lagi kanak-kanak di Mariupol – pelabuhan tenggara yang dikepung selama beberapa minggu sebelum tentera Russia menawannya pada pertengahan Mei.
Secara keseluruhan, pejabat itu berkata, sekurang-kurangnya 287 kanak-kanak meninggal dunia sejak permulaan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu dan lebih 492 cedera.
“Ketika rakaman kesalahan jenayah, diketahui bahawa 24 lagi kanak-kanak maut di Mariupol, wilayah Donetsk, akibat serangan sewenang-wenang oleh tentera Russia.
“Angka-angka ini belum muktamad, kerana kerja sedang dijalankan untuk menetapkannya di tempat-tempat permusuhan aktif, di wilayah yang diduduki sementara dan dibebaskan,” kata pejabat itu dalam aplikasi Telegram.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.
Datuk Bandar Mariupol berkata, terdapat wabak taun di bandar itu apabila sistem sanitasi rosak dan mayat reput di jalanan.
Russia menafikan menyasarkan orang awam dan menolak dakwaan jenayah perang dalam apa yang disebutnya sebagai ‘operasi ketenteraan khas’.
Kyiv dan sekutunya berkata, Ukraine telah diceroboh tanpa provokasi.
Pada awal Jun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 250 kanak-kanak terbunuh sejak perang bermula dan lima juta kekal berisiko berdepan keganasan dan penderaan. – Agensi