Kecacatan kaki yang dialami tidak mematahkan semangat seorang gadis berusia 30 tahun, Nur Safra Abd Halim untuk berdikari mencari rezeki sebagai penghantar barangan.
Meskipun pergerakannya sedikit terbatas, gadis Orang Kelainan Upaya (OKU) yang juga bekas atlet para olahraga Terengganu itu berkata dia bersyukur kerana berjaya memperoleh sekurang-kurangnya RM500 sebulan hasil titik peluhnya sebagai penghantar barangan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai jurujual kereta Proton tapi pendapatan terjejas teruk setelah PKP. Jadi, saya ambil keputusan bekerja sebagai penghantar barangan.
“Walaupun RM500 itu tidak banyak, namun ia cukup untuk menampung belanja hidup saya seorang, yang penting saya tidak membebankan keluarga kerana mereka pun hadapi masalah kewangan akibat situasi getir ekonomi ketika ini.
“Sebab itu saya tidak menetapkan sebarang kadar caj bayaran kepada pelanggan. Terpulang kepada mereka untuk memberi upah seikhlas hati kerana saya faham ramai yang susah kena buang kerja dan tidak dapat kerja lebih masa seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu.
Antara barangan yang sering dipesan pelanggan ialah bahan mentah seperti ikan dan ayam serta keperluan dapur seperti susu, rempah masakan dan tepung.
Pemenang pingat emas acara lempar cakera dan rejam lembing pada temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2018 itu berkata dia bertuah kerana ramai pelanggannya tidak ‘berkira’ dalam memberi upah dan sering membayar lebih daripada jumlah sepatutnya terutama pelanggan dari luar Terengganu yang membelikan barangan untuk ibu bapa mereka di kampung.
“Saya hanya mengiklankan perkhidmatan menghantar barangan ini di Facebook dan WhatsApp sahaja. Selain itu, hanya pelanggan yang promosikan dengan kaedah ‘mulut ke mulut’ setelah berpuas hati dengan khidmat saya.
“Sambil menghantar barangan, saya ambil peluang untuk mengingatkan pelanggan terutama warga emas agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) seperti jaga kebersihan, amalkan jarak fizikal dan kekal duduk di rumah supaya dapat putuskan rantaian Covid-19 lebih cepat dan dapat nikmati kehidupan normal seperti dahulu,” katanya.
Ditanya punca kaki kanannya menjadi tempang, Nur Safra yang turut memenangi pingat perak acara lontar peluru pada Para Sukma 2018 berkata ia kerana kemalangan jalan raya pada 2010 menyebabkan tulang pehanya hancur dan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
“Hampir tujuh tahun saya tidak boleh berjalan seperti biasa dan berkat sokongan keluarga, kawan serta mengikut latihan fisioterapi disediakan, akhirnya saya berjaya pulih sepenuhnya dan berjalan tanpa menggunakan tongkat pada 2017.
“Sebab itu saya lebih menghargai ‘peluang kedua’ boleh berjalan ini agar dapat memanfaatkannya untuk perkara yang baik dan disumbangkan kembali kepada masyarakat, agama dan negara,” katanya.
Mengenai cabaran sepanjang menjadi penghantar barangan, Nur Safra berkata antaranya dia pernah tersesat, pelanggan gagal dihubungi, terpaksa pergi ke beberapa lokasi berlainan untuk membeli barangan dikehendaki pelanggan, hujan lebat dan cuaca sangat panas ketika ini.
Bagi mengelak kesukaran ketika berjalan, Nur Safra terpaksa memasang ‘tumit’ untuk kasut kaki sebelah kanan supaya langkahnya lebih sempurna dan kecacatannya tidak kelihatan jelas.
“Sebab itu tidak ramai yang perasan mengenai kecacatan kaki saya, lagipun saya tidak mahu pelanggan berasa kasihan dengan kekurangan fizikal saya, biarlah mereka mengenali saya kerana berpuas hati dengan khidmat penghantaran barangan,” katanya.
Ditanya perancangannya selepas tamat PKP 3.0 ini, anak keenam dari tujuh beradik itu berkata dia mahu meneruskan pekerjaannya sebagai jurujual kereta Proton dan pada masa sama mahu melebarkan lagi khidmat penghantaran barangan ke lebih banyak daerah di Terengganu.
– Malaysiakini