Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas bekas perdana menteri Najib Razak berhubung apa yang didakwanya sebagai cubaan memutar belit kenyataannya mengenai krisis ekonomi yang berlaku di Sri Lanka.
Ini selepas Lim menyebut mengenai insiden penunjuk perasaan membakar rumah perdana menteri Sri Lanka dan memberi amaran kepada negara ini agar tidak mengikut jejak langkah yang sama.
Kenyataan itu menyebabkan Najib menggesa pihak polis agar menyiasat Lim atas dakwaan menghasut.
“Saya telah jangka yang ahli politik yang terdesak dan juga oportunis akan mengambil kesempatan ini, melalui pakar propaganda dan tentera siber mereka, untuk memusing dan memutarbelitkan makna dan tujuan asal kenyataan saya sebagai kononnya satu hasutan.
“Apa yang tidak dijangka adalah untuk seorang bekas perdana menteri sendiri untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata dia tidak berniat untuk menghasut rakyat Malaysia atau menggugat ketenteraman awam.
“Saya telah pun menjelaskan yang saya tidak berniat untuk menghasut untuk membawa apa-apa kejadian yang menggugat ketenteraman awam di Malaysia.
“Sebaliknya untuk memberikan amaran terhadap bahaya sekiranya kita membiarkan suasana politik dan sosio-ekonomi dalam negara untuk terus merosot seperti apa yang telah berlaku di Sri Lanka dalam setengah abad yang lepas sehingga negara tersebut menjadi sebuah negara gagal,” katanya.
Lim berkata dia percaya keadaan yang berlaku di Sri Lanka tidak akan terjadi di Malaysia pada masa ini. Sebaliknya katanya dia hanya mempersoalkan apakah Malaysia sedang mengikut jejak langkah negara berkenaan.
“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?
“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai “permata” yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?”
“Untuk setengah abad yang lepas, dari tahun 1970 sehingga 2020, sama ada dari segi pertumbuhan KDNK atau KDNK per kapita, Malaysia telah ditinggalkan di belakang Korea Selatan, Singapura, Indonesia, dan China, tetapi Sri Lanka mencatatkan prestasi yang lebih buruk,” katanya.
Protes terhadap kerajaan Sri Lanka meletus minggu lalu selepas negara itu menghadapi krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.
Keadaan itu menyaksikan kadar inflasi meningkat dengan krisis kekurangan bekalan ubat-ubatan, bahan bakar serta barang keperluan lain.
Penunjuk perasaan membakar rumah berpuluh-puluh ahli politik, termasuk rumah keluarga Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa dan adik lelakinya serta Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Mahinda mengemukakan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri pada 9 Mei lalu.