Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin menegaskan isu prestasi majlis itu terserah kepada rakyat untuk menilai sebaliknya bukan orang politik.
Menurutnya, ia kerana kenyataan orang politik kadang-kadang mempunyai muslihat politik.
“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang apabila orang politik buat kenyataan itu ada muslihat politik. Saya tak nak kata apa-apa, itu terserah rakyat.
“Saya berada di sini (dalam MPN) untuk membantu negara bukan sahaja bantu kerajaan, saya ambil pendirian apa keputusan yang kita nak usulkan kerajaan kena mengikut dasar kerajaan sedia ada.
“Kalau ada perkara baru yang nak disegerakan contohnya waktu kita nak buat keputusan untuk buka sempadan negara, jadi apa yang diputuskan oleh MPN sempadan dibuka awal Januari tapi nampaknya kerajaan menangguhkan baru bulan April dibuka.
“Tetapi usul sudah datang daripada kita, kenapa kita minta disegerakan kerana selagi kita tutup sempadan bermakna ekonomi kita tidak akan berkembang cepat pelancong pun tidak masuk ke negara kita, kita rugi wang yang cukup besar,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pakatan Nasional Kelantan di Tanah Merah, hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak MPN dibubarkan.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata untuk menyatakan MPN berkesan atau tidak badan itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, kementerian atau agensi.
Tegasnya, tugas MPN adalah sebagai badan penasihat kerajaan persekutuan.
“Kami badan yang memberi nasihat, jadi nak kata gagal atau tak gagal kalau kerajaan fikir cadangan kita baik dia akan buat.
“Tetapi saya faham bahawa proses pemulihan tak mudah, Zahid sebagai presiden Umno boleh katalah, macam gagal dan sebagainya.
“Macam dulu dia kata kerajaan gagal, hakikatnya kerajaan tidak gagal, rakyat boleh menilai,” jelasnya.
Tambah Anggota Parlimen Pagoh itu, apa yang penting bukan orang politik yang mengkritik, tetapi biar rakyat yang menilai.
“Kalau rakyat kata Muhyiddin berhentilah, saya berhenti. Lagipun ada duduk di sini sebagai sumbangan probono, saya tak minta gaji saya buat dengan ikhlas dan tak ambil apa-apa bayaran,” jelas Muhyiddin.