Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mempunyai masa sehingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti berkenaan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Belum dapat lagi (maklum balas). Ia dalam masa 60 hari… kalau tak silap saya sehingga 16 Julai ini.
“Jadi sebelum itu masih menunggu lagi,” kata Ismail Sabri ketika ditemui pemberita pada Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke-42 di Universiti Malaya (UM).
Ismail yang merupakan naib presiden Umno, ditanya sama ada ROS telah meluluskan permohonan untuk meminda perlembagaannya bagi menangguhkan pemilihan parti itu sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, The Star hari ini memetik timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan yang menyatakan parti itu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada ROS sejak 17 Mei apabila notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan.
“Tidak adil ROS bertindak begini. Beri kami jawapan daripada membuat kami tertunggu-tunggu begini. Jika ya, terima kasih banyak-banyak.
“Jika tidak, terima kasih juga. Kami kemudian boleh membuat persiapan untuk mengadakan pemilihan parti kami. ROS mesti menjawab atau mungkin perlu mendapatkan perintah mahkamah,” kata Mohamad.
Artikel yang sama juga memetik ahli majlis tertinggi Umno Sharkar Shamsudin mempersoalkan kelewatan ROS memberikan kelulusan.
“Kenapa ROS biarkan permohonan kami? ROS benarkan MCA dan Parti Gerakan membuat perubahan yang sama kepada perlembagaan parti mereka,” kata Sharkar.
Untuk rekod, ROS mengambil masa lebih setahun untuk memberikan kelulusan kepada MCA meminda perlembagaannya.
MCA menyerahkan kertas kerjanya pada Disember 2019.
Pindaan perlembagaannya hanya diluluskan ROS pada Mac tahun ini.